KALAM PENGARAH PROGRAM
Ustaz Mohammad Zamri bin Jusoh
TAJUK: HALA TUJU PENGANJURAN KEM PONDOK CUTI SEKOLAH BERSAMA 3 TOK GURU & KEM KECEMERLANGAN DIRI BERSAMA HUFFAZ
Tahun 2012 ini merupakan tahun keempat Kem Pondok Cuti Sekolah Bersama 3 Tok Guru akan dijalankan. Kem ini telah dijalankan semenjak tahun 2009 yang lalu. Pada tahun ini juga dilancarkan satu lagi kem yang dinamakan sebagai Kem Kecemerlangan Diri Bersama Huffaz. Kem kedua ini dilancarkan di atas permintaan para waris untuk memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dan ada pilihan untuk memilih salah satu kem yang dianjurkan oleh Armaq Consultant pada setiap hujung tahun. Walaupun terdapat perbezaan nama antara kedua-dua kem ini, namun pengisiannya mempunyai objektif dan pendekatan yang sama, cuma “ikon”nya yang berbeza.
Kem Cuti Sekolah anjuran Armaq Consultant mempunyai kelainan dan keistemewaan tersendiri berbanding kem-kem yang lain. Ini jelas dapat dilihat kerana Kem Cuti Sekolah Armaq Consultant akan menampilkan “Ikon” atau “Model” tertentu untuk dijadikan ikutan dan contoh tauladan para peserta kem iaitu 3 Tok Guru dan Huffaz (Penghafal Al-Quran). Sebagai contoh, melalui kem yang pertama “ikon” atau “model” yang diketengahkan ialah 3 Tok Guru Pondok iaitu Tuan Guru Haji Md Rejab bin Mat Akhir (Tuan Guru Pondok Madrasah Manabiul Ulum, Pida 2, Air Hitam), Tuan Guru Haji Khairul Anuar bin Shafie ( Tuan Guru Pondok Madrasah Muhajirin, Gajah Teriak, Jitra, Kedah Darul Aman) dan Syeikh Majid bin Abu Bakar An-Nadwi (Mudir Maahad Tarbiah Islamiyah, Derang, Pokok Sena, Kedah Darul Aman.
Para peserta di dalam Kem ini dapat berpeluang berguru secara bertalaaqi (berhadapan) bersama ketiga-tiga Tok Guru di dalam bidang Akhlak, Tauhid dan Feqah. Dengan bermuamalah bersama ketiga-tiga Tok Guru ini, insyaallah Allah akan mengurniakan keberkatan tertentu dan akan menjadi titik tolak kepada perubahan diri peserta ke arah menjadi insan cemerlang dunia akhirat. Tidak mustahil, dengan muamalah ini juga akan mewujudkan hubungan dan interaksi yang baik serta menghilangkan prajudis golongan remaja terhadap golongan Tok Guru, Ustaz dan Ustazah sebagai musuh mereka. Persepsi tersebut akan membuka ruang kepada remaja untuk mendekatkan diri dengan golongan agamawan di sekolah, institusi pengajian dan di dalam masyarakat. Maka, akan berlakulah satu tranformasi pada diri peserta ke arah kecemerlangan diri dengan merasai kesedaran, tanggungjawaab, beramanah, taat kepada ibubapa, rajin belajar dan lain-lain di samping pelbagai input yang disajikan sepanjang 8 hari 7 malam tersebut. Harapan kita, agar peserta beroleh kecemerlangan dari semua aspek samada kecemerlangan akademik dan sahsiah diri serta menjadi anak soleh yang mendoakan kesejahteraan ibubapa masing-masing di alam barzakh kelak.
Antara lain kelebihan kedua-dua kem ini ialah;
1. LDK ( Latihan Dalam Kumpulan): Membincang semula secara terperinci setiap isi penting setiap slot yang disampaikan oleh Tok Guru @ Penceramah. Melalui LDK ini, peserta dilatih supaya berani bercakap, berani memberi idea, membina keyakinan diri, koreksi potensi diri, mengetahui kekuatan diri untuk dimanfaatkaan, mengetahui kelemahan diri untuk diperbaiki, mencungkil bakat kepimpinan dan lain-lain
2. PEMBENTANGAN: Setiap peserta di dalam kumpulan wajib membuat pembentangan hasil perbincangan semasa LDK. Ini merupakan latihan “public speaking”. Melalui pembentangan akan dilihat beberapa aspek untuk dinilai. Antaranya, gaya bercakap, kesopanan, kesungguhan, kesesuaian bahasa digunakan, keberanian bercakap, ketokohan dan lain-lain. Apa yang penting ialah ilmu yang diperolehi semasa input diberikan oleh Tok Guru @ Penceramah dan perbincangan semasa LDK dan kemampuan menyampaikan akan menguatkan ingatan tentang maklumat yang disampaikan. Markah akan diambil untuk membuat pemilihan kumpulan terbaik.
3. PEMANTAPAN ILMU: Input yang disampai oleh Tok Guru @ Penceramah, perbicangan dalam LDK dan pembentangan ialah bertujuan untuk memantapkan ilmu. Pemantapan ilmu yang dimaksudkan ialah berkaitan Ilmu Akidah, Akhlak dan Fardu Ain. Ketiga-tiga bidang ilmu yang disampaikan oleh Tok Guru @ Penceramah serta perbincangan dan LDK serta pembentangan akan dikaitkan dengan keadaan semasa. Antaranya berhubung masalah murtad, gejala sosial dan sebagainya.
4. PERUJIAN FARDU AIN: Setiap peserta akan diuji sebanyak dua kali iaitu pada awal dan akhir kem untuk menuntukan tahap dan keberhasilan program yang dijalankan. Hasil perujian akan digredkan dan ditandakan oleh setiap fasilitator di dalam kumpulan masing-masing. Setiap peserta tidak terkecuali daripada diuji dan dibuat penilaian. Hasil penilaian yang pertama dan kedua akan diserahkan kepada waris untuk perhatian dan tindakan lanjut para waris. Perkara yang dinilai termasuk bacaan dalam solat, toharah, perbuatan dalam solat (amali) dan lain-lain.
5. TADARRUS AL-QURAN SURAH AL-WAQIAH: Setiap pagi sebelum program berjalan semua peserta wajib berada di dalam kumpulan masing-masing dan akan memulakan setiap hari dengan membaca surah al-Waqiah. Peserta akan dimaklumkan tentang fadhilat membaca surah tersebut. Di akhir kem setiap peserta akan dapat membaca surah tersebut dengan lancar, baik dan betul. Khalifah membaca surah tersebut akan bersilih ganti untuk siri latihan potensi diri.
6. HAFAZAN: Peserta diwajibkan menghafal ayat-ayat lazim, wirid selepas solat, doa-doa dan lain-lain. Perujian juga dibuat diakhir untuk membuktikan kesahihan hafazan dan pembuktian kepada waris. Namun ianya berdasarkan kemampuan dan potensi peserta.
7. BACAAN: Setiap hari terdapat bacaan-bacaan wajib seperti zikir munajat, asmaulhusna, maksurat, ratib hadad dan lain-lain. Di akhir program peserta dapat membaca dengan lancar agar ianya dapat diamalkan setelah tamat kem. Semua bacaan tersebut akan dinyatakan fadhilat dan kelebihan ke arah kecemerlangan diri peserta.
8.MALAM KESENIAN ISLAM (MKI): Islam tidak menghalang aktiviti seni. Seni ialah ialah sesuatu yang diharuskan di dalam Islam.Melalui MKI semua peserta wajib mengambil bahagiaan di dalam setiap kategori persembahan yang diagihkan kepada setiap kumpulan. Melalui MKI ini akan dinyatakan implikasi seni terhadap peserta remaja. Kesilapan remaja di dalam pemilihan “ikon” terhadap artis dan kesesuaian mengikut lunas syara’ dan implikasi terhadapat akidah, akhlak dan ibadat.
9. RIADAH: Peserta dilibatkan juga dengan aktiviti riadah pada setiap petang untuk mengimbangkan aktiviti rohani dan jasmani. Aktiviti riadah dapat membentuk sikap kerjasama, tidak penting diri sendiri, amanah, disiplin dan tepati masa dalam membentuk sahsiah diri.
10. FASILITATOR TERPILIH: Fasilitator yang terlibat untuk membimbing para peserta dipilih dari kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan pondok yang berdisiplin, tanggungjawab, tidak merokok dan berlatarbelakang pendidikan agama adalah antara ciri-ciri utama yang perlu ada pada setiap fasilitator untuk membimbing para peserta kem.
11. NETWORKING: Jalinan ukhwah diantara pihak
pengurusan Armaq Consultant, para fasilitator dan peserta kem dapat dijalinkan
melalui facebook ( fb ) dan blog selepas berakhirnya kem. Selain dapat
mengeratkan silaturrahim, para peserta juga boleh bertanyakan soalan serta
mendapat bimbingan daripada fasilitator melalui networking yang sedia ada.
12. PEMBENTUKAN KUMPULAN: Peserta dibahagikan kepada beberapa
kumpulan yang yang dibimbing oleh seorang fasilitator. Pembentukan kumpulan ini
untuk meningkatkan semangat kerjasama, tolong menolong di antara ahli kumpulan
dan dapat memberi atau menyumbang idea yang bernas di dalam kumpulan melalui
latihan dalam kumpulan ( LDK ). Setiap kumpulan akan bersaing secara lebih di
dalam setiap aktiviti.
13. SOLAT BERJEMAAH: Setiap peserta diwajibkan untuk
menunaikan solat secara berjemaah seperti yang dituntut dalam syariat islam
dengan ganjaran pahala sebanyak 27 kali ganda daripada solat secara bersendirian.
Peserta juga akan dilatih untuk menjadi imam dan bilal ketika solat berjemaah.
14. DISIPLIN: Para peserta dilatih untuk bersikap
disiplin dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri, rakan – rakan ,
fasilitator dan terhadap alam sekitar.
15. KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN
SAHSIAH DIRI: Para
peserta dirangsang untuk meningkatkan kecemerlangan akademik melalui slot
motivasi dan meningkatkan sahsiah diri melalui slot muhasabah.